Rabu, 8 Oktober 2014

Rakaman Program Tafaqquh Fiddin siri ke - 2

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta’ala yang dengan kasih sayang-Nya mengizinkan kita menambah ilmu melalui satu lagi siri pengajian Tafaqquh Fiddin anjuran bersama Pertubuhan Alumni Pelajar Islam SBP dan Majlis Ta'lim An-Nur bersama Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Hj Joll pada 21 Jun 2014 yang lalu.

Program ini menggunakan kitab Ayyuhal Walad karangan Imam al-Ghazali. Ayuh bersama-sama imarahkan majlis ilmu yang merupakan salah satu taman-taman syurga. 

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;

"Apabila kamu melalui (bertemu) dengan taman-taman syurga (di atas muka bumi ini), maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati(hasilnya). Lalu sahabat pun bertanya; apakah dia taman-taman syurga tersebut? Rasulullah berkata; Majlis-majlis ilmu."

 (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Di bawah adalah pautan rakaman semasa daurah. Kami meminta maaf atas keterlewatan memuat naik rakaman ini atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan dan kemungkinan kualiti video agak tidak memuaskan para penuntut ilmu sekalian.


Nasihat ke-10: Bangunlah beribadat di waktu malam

Dan berkata Sufyan As-Tsauri r.a:
Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan satu angin yang berhembus di waktu sahur untuk membawa zikir dan istighfar kepada Tuhan, Raja Yang Maha Perkasa.

Dan beliau berkata lagi:
Apabila bermula malam maka memanggillah suatu pemanggil daripada bawah Arasy: "Hendaklah bangkit para Abidin" (orang-orang yang banyak beribadat). Maka mereka pun bangkit dan terus bersembahyang dengan sembahyang yang banyak.

Dan apabila sudah berlalu separuh malam maka memanggil pula sesuatu pemanggil: "Hendaklah bangkit para Qanitin" (mereka yang bersungguh-sungguh dalam ibadat). Maka mereka pun bangkit dan terus bersembahyang sehingga sehingga sampai ke waktu sahur.

Dan apabila datang waku sahur maka memanggil pula suatu pemanggil: "Hendaklah bangkit para Mustaghfirin" (orang-orang yang mahu beristighfar). Lalu mereka pun bangkit dan terus beristighfar.

Dan apabila fajar sudah naik menyinsing maka memanggillah oleh suatu pemanggil: "Hendaklah bangkkit golongan Ghafilin (orang-orang yang lalai). Lalu mereka pun bangkit daripada hamparan mereka laksana orang mati yang dibangkitkan daripada kubur mereka.


T.A.Q.W.A - Ta:TAKUT, Qaf-Qanaah, Wau-Wara', Ya-Yaqin

"Orang alim tidak akan membunuh insyaALLAH, tidak akan mencuri insyaALLAH, tetapi sifat keji yang boleh keluar dari orang alim ialah hasad."

Al-Fadhil Ustaz juga ada berpesan supaya kita mencari paling kurang 1 amalan yang sering kali kita lazimi walau sesibuk manapun walaupun kecil untuk menjadi peneman kita nanti di akhirat sana.

Alhamdulillah, Al-Fadhil Ustaz juga telah mengijazahkan doa yang sangat bermanfaat pada minit ke 19:48.

Bahagian 3



Nasihat ke-13: Empat sifat kesempurnaan bagi orang yang salik

Pertama: I'tiqad yang benar yang tidak ada bid'ah di dalamnya (maksudnya mengikuti aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah)
Kedua: Bertaubat dengan taubat nasuha sehingga ia tidak akan kembali mengerjakan dosa yang pernah dilakukannya.
Ketiga: Meminta halal daripada semua musuh (dan makhluk) sehingga engkau tidak akan dituntut pada hari kiamat nanti.
Keempat: Mempelajari ilmu syariah untuk dapat menunaikan segala perintah Allah Taala dan juga mempelajari ilmu akhirat yang dapat menjamin keselamatanmu di akhirat nanti.

Bahagian 4



Nasihat ke-16: Carilah guru yang mursyid

Dan sifat-sifat seorang guru mursyid yang layak mengganti Rasulullah saw itu ialah bahawa ia seorang yang benar-benaralim, tetapi bukan semua orang yang alim layak menjadi pengganti kepada Rasulullah saw.
Al-Imam Al-Ghazali juga menyenaraikan beberapa sifat guru yang mursyid.

Alhamdulillah. Al-Fadhil ustaz juga berkenan untuk mengijazahkan doa nabi khidir a.s. "bismillahi masya Allah..."

Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dan kekuatan untuk istiqamah mengikuti apa yang telah diajarkan daripada kitab ini agar dibukakan jalan-jalan menuju kepada Allah SWT, Amin Allahumma Amin.
Untuk manfaat penuh, mohon luangkan masa untuk menonton rakaman video di atas dan jangan segan-segan untuk berkongsi dengan yang lain kerana tanggungjawab orang yang mendapat ilmu ialah menyampaikan pula kepada yang lain. Jom sama-sama kita usahakan, InshaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan