Isnin, 4 April 2011

Komen tentang buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama’

Komen tentang buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama’



“Kehadiran buku “Persoalan Khilafiyyah dan Pendirian Ulama’: Inilah Jawapannya…” ini adalah amat tepat pada masanya. Saya percaya ia akan menjadi rujukan yang sangat berguna dalam menjawab persoalan khilafiyyah yang ditimbulkan di dalam masyarakat. Tujuan penulisan buku ini pula seperti yang disebutkan oleh penulisnya, adalah sejajar dengan usaha JAKIM dalam memberi kefahaman Islam yang benar, di samping mempertahankan kecuian aqidah Ahlus Sunnah wal Jamaah dan mengekalkan keharmonian masyarakat.

Oleh kerana besarnya manfaat buku ini, saya menyarankan agar ia menjadi rujukan bukan sahaja di jabatan-jabatan Mufti dan pejabat-pejabat agama negeri, tetapi juga di pejabat-pejabat am, pusat-pusat pengajian, sekolah, masjid, surau dan orang perseorangan dalam menjawab persoalan-persoalan khilafiyyah.”

 (Dato' Haji Wan Mohamad bin Dato' Sheikh Abdul Aziz, Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) )

__________________________________________________

“Saya dapati buku ini adalah baik dan bermanfaat kepada mereka yang berminat untuk mengetahui dalil-dalil dan hujjah-hujjah permasalahan yang tersebut menurut pandangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah....

Semoga dengan adanya buku ini dapat menambahkan lagi khazanah buku-buku agama yang sedia ada di negara kita, dalam masa yang sama dapat meningkatkan kefahaman masyarakat Islam dan bijak memilih keutamaan dalam persoalanan khilafiyyah demi mencapai kesejahteraan hidup yang hakiki di akhirat kelak. Semoga Allah  memberkati usaha yang murni ini. Amiin. Ya Rabbal ‘Alamin.”

(Sahibus Samahah, Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi, mantan Mufti Negeri Sarawak dan sekarang Penasihat Jabatan Mufti, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Agama Islam Sarawak)

__________________________________________________

“...Kehadiran buku ini adalah tepat pada masanya untuk menjawab persoalan-persoalan yang sering ditimbulkan dalam masyarakat. Penyusun dan penulisnya, Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll, telah berusaha menjawab persoalan-persoalan ini dengan merujuk kepada penjelasan para ulama’ muktabar dan berwibawa dari kalangan mutaqaddimin dan muta’akhkhirin.

Berlakunya pandangan yang selalu mengatakan bahawa sesuatu yang tidak ada disebutkan di dalam Al-Qur’an dan hadith sebagai bid’ah, adalah berpunca daripada tidak memahami sumber-sumber hukum. Sebagai mana yang diketahui di dalam Syariat, Al-Qur’an dan hadith adalah dua sumber hukum yang utama. Walau bagaimanapun, masih terdapat sumber-sumber hukum yang lain mengikut para fuqaha’ termasuklah Ijma’, Qiyas, Istihsan, Istishhab, Mashalih al-Mursalah, Amal Ahl al-Madinah (amalan ulama’ Madinah) dan lain-lain…

Semoga buku ini akan memberi manfaat yang besar kepada semua pembaca dan menjadi antara rujukan dalam menanggapi permasalahan khilafiyyah. Semoga Allah  membalas penyusun dan penulisnya dengan ganjaran yang sempurna.”


(Dato' Haji Hashim Yahya, Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur/Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA)

__________________________________________________

“Sepanjang pengetahuan saya, inilah buku berbahasa Melayu paling lengkap yang pernah saya jumpa, yang menjawab hampir keseluruhan perkara-perkara yang sering ditimbulkan di dalam masyarakat terutamanya di dunia Melayu Islam... Saya amat gembira dengan kehadiran buku seperti ini dan menyokong penuh untuk diketengahkan ke dalam masyarakat.

…Saya mengucapkan tahniah kepada Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll di atas kesungguhan beliau menyusun dan menulis buku ini. Semoga Allah  membalas usaha murni beliau dengan kebaikan dan menjadikan buku ini bermanfaat kepada semua umat Islam, Amin. ”

(Dato’ Haji Md. Saleh Haji Md. @ Ahmad, Timbalan Yang Di Pertua, Persatuan Ulama Malaysia (PUM)/ Felo Kehormat Akademik, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, UIA)

__________________________________________________

“...Inilah antara usaha-usaha yang saya nanti-nantikan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini demi untuk menunjukkan perjalanan dan hidup beragama dalam arus perdana Ahli Sunnah wa al-Jama’ah... 

Saya percaya kitab ini akan menjadi panduan yang bermunafaat bagi semua golongan masyarakat Islam dan ia mampu – Allahumma amin – meredakan suara-suara sumbang yang mengeruhkan keadaan masyarakat, dan menjawab persoalan-persoalan secara tepat dengan menggunakan hujah-hujah yang teguh dan boleh dipertanggungjawabkan.

Saya berdoa kepada Allah  supaya beliau dikurniakan ganjaran yang sebaik-baiknya bagi usahanya yang gemilang ini, amin.”

 (Dr. Muhammad ‘Uthman El-Muhammady,  Pemikir Islam/Felo Amat Utama Akademik, Institut Pemikiran Antarabangsa dan Tamadun Islam (ISTAC), UIA)

__________________________________________________

“…Buku PERSOALAN KHILAFIYYAH & PENJELASAN ULAMA’ – Inilah Jawapannya adalah merupakan hadiah al-Fadhil Ustaz Muhadir kepada masyarakat Malaysia sangat mendambakan hujjah bagi menjawab kekeliruan yang dibawa oleh golongan yang berfahaman Wahabi. Buku setebal 915 halaman yang mencakupi 179 persoalan berkaitan aqidah, ibadah dan tasawwuf yang berkaitan dengan amalan seharian, dengan gaya bahasa yang mudah difahami. Buku ini sarat dengan dengan hujjah-hujjah atau dalil-dalil bagi setiap persoalan yang dibahaskan dengan merujuk kepada pendapat-pendapat ulama ahlus sunnah wal jama’ah yang  mu’tabar, amat sesuai dan seharusnya untuk dimiliki oleh masyarakat kita. Rujukan yang digunakan untuk menghasilkan buku ini berjumlah lebih daripada 200 buah kitab yang berbahasa ‘arab dan melayu. Selain itu,  mutu penerbitan buku ini sangat baik, dengan berkulit tebal, kertas yang berkualiti dan  susun atur yang menarik. 

Semoga dengan kehadiran buku ini, masyarakat tidak lagi teraba-raba untuk mencari hujjah dalam menangkis kekeliruan yang dibawa oleh fahaman Wahabi.”

(Ustaz Abuzahrah al-Qaddahi (pemilik blog: http://al-fanshuri.blogspot.com/ yang terkenal)

__________________________________________________

“…Ke hadapan umat yang dukacita dikelirukan oleh wahabi, Al-Fadhil Al-Ustaz Muhadir Joll persembahkan buku khusus bertajuk ‘Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama – Inilah Jawapannya’. Ia hadir sebagai sebuah ensiklopedia setebal hampir 1000 mukasurat menghimpun soal-jawab 179 masalah yang sering dibangkitkan dalam masyarakat melengkapi dimensi agama yang tiga iaitu akidah, ibadah, dan akhlak. Selain itu disertai juga panduan untuk mendepani masalah khilafiyah. 

Penjelasan oleh buku ini detil berakarkan pemikiran Islam yang asli, bergaya moden, dan sesuai untuk sesiapa yang tulus mencari kebenaran. Buku ini membuktikan keulungan  Al-Fadhil sebagai mewakili ulama aliran tradisional yang hidup dalam lingkungan kemodenan.  

Buku ini adalah rujukan tuntas dan meyakinkan apabila berhadapan masalah khilafiyyah. Khilafiyyah bermaksud perkara yang tidak disepakati hukumnya dikalangan ulama - pada hari ini terlalu kerap muncul di ruang awam. Contohnya, melakukan tahlil sempena kematian. Lantaran itu lah ia menjadi sangat penting untuk dimiliki setiap orang. Paling memerlukannya adalah golongan pelajar kerana mereka ini paling lantang berbicara soal khilafiyah…”

(Akhi Ahmad Syaibani, penuntut Maahad Tahfiz, Darul Quran (pemilik blog: http://kantapembesar.blogspot.com/ )

__________________________________________________

"Alhamdulillah, kitab Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama' banyak membantu ana dalam memahami persolan khilafiyyah. Penjelasan dengan bahasa yang mudah mengikut kaedah ahli sunnah wal jamaah dan dilengkapi dengan nota kaki yang padat sememangnya dapat meyakinkan para pencinta sunnah tentang sesuatu perkara yang menjadi khilaf. Dengan harga yang berpatutan, amatlah berbaloi memiliki kitab ini kerana hakikatnya tiada harga yang dapat dibayar apabila segala keraguan dalam agama dapat dijawab lengkap bersama dalil-dalil yang sahih. Buku ini wajar dimiliki bagi mereka yang mencintai ilmu tahqiq yang hanya dapat dipelajari daripada guru yang bersanad. Semoga para pencinta sunnah dapat beramal dengan penuh keyakinan. Jazaakallahu khairan jazaa'.”

(Ukhti Aisyah Humaira bt Abdul Kadir, Dentistry, 2nd year, UIA PJ)

__________________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan