Majlis Periwayatan dan Pengijazahan Hadith-Hadith Musalsal
Oleh
Sohibul Fadhilah, Al-Musnid, Syaikh Muhammad Husni Jinting al-Langkati al-Husofi al-Azhari al-Asy’ari-asy Syafi’e
Dengan nama Allah Subhanahu wa Ta’ala Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Baginda Rasulillah Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam. Alhamdulillah, tanggal 14 Disember 2011M bersamaan dengan 19 Muharam 1431H telah menjadi detik yang istimewa kepada ahli pengajian talaqi UIAM kerana Majlis Talaqi kali ini telah dihadiri seorang ulama Nusantara, Muhaddith dan Musnid Asia Tenggara, Al-Fadhil Syaikh Muhammad Husni Jinting al-Langkati al-Husofi al-Azhari al-Asy’ari asy-Syafi’e.
Turut hadir menyerikan majlis ialah Syaikhuna, Al-Fadhil Ustaz Muhadir bin Haji Joll as-Sanariy dan pemilik blog al-fanshuri, Al-Fadhil Ustaz Abdullah Tohir al-Qaddahiy. Majlis kali ini juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelajar-pelajar UIAM kampus Petaling Jaya, Gombak, Nilai dan Kuantan, mahasiswa/wi dari Darul Quran JAKIM, UKM dan tidak ketinggalan juga jemaah kariah Masjid Kolej Islam Malaya.
Majls dimulai dengan pembacaan Ratibul Haddad, susunan Al-Imam Abdullah al-Haddad diketuai oleh salah seorang pengajian ahli pengajian talaqi UIAM. Dalam masa yang sama, kelihatan para pencinta ilmu sudah memenuhi ruang di Dewan Bawah Masjid Kolej Islam Malaya. Semasa rombongan Al-Fadhil Syaikh beserta Ustaz Muhadir dan Ustaz Abdullah melangkah masuk ke dewan, hadirin bangun serentak untuk Mahallul Qiyam. Lantunan selawat ke atas Baginda Rasulullah Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam bergema seketika di bumi Petaling Jaya!
Setelah itu, qasidah “Ya Thoybah” telah dilantunkan oleh saudara Hafiz Zakaria sebagai bukti cinta umat Nabi Muhammad Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam kepada Baginda Rasulullah Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam.
Ucapan alu-aluan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir dimulakan dengan mengalu-alukan kedatangan Al-Fadhil Syaikh ke Majlis Talaqi UIAM PJ dan juga sekalian muslimin muslimat yang hadir ke majlis yang penuh keberkatan itu. Al-Fadhil Ustaz mengatakan bahawa Syaikh Muhammad Husni adalah hadiah istimewa daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada ummat khususnya di dunia Melayu Nusantara. Al-Fadhil Ustaz juga mengingatkan supaya muslimin dan muslimat yang hadir mengambil curahan rahmat, keberkatan dan manfaat dari ilmu Syaikh Muhammad Husni dengan izin Allah Azza Wajalla.
Kemudian, Al-Fadhil Ustaz Abdullah al-Qaddahiy berpesan kepada hadirin supaya membetulkan niat dan membersihkan hati dalam menuntut ilmu. ”InsyaAllah, kita akan mendapat madad (kurniaan) dari Allah Subhanahu wa Ta’ala”, ujar Al-Fadhil Ustaz Abdullah, pemilik blog agama yang terkenal, alfanshuri.blogspot.com.
Saat yang ditunggu-tunggu telah tiba apabila Al-Fadhil Syaikh mula menuturkan bicaranya. Al-Fadhil Syaikh telah meriwayatkan hadith-hadith musalsal yang ditulis beliau dalam kitabnya, Aayaatul Mufossalaat fii Al-Ahaadiith al-Musalsalaat dan beliau dengan senang hati memberi ijazah hadith kepada muslimin dan muslimat yang hadir. Alhamdulillah, lebih kurang 17 belas Hadith Musalsal yang diriwayatkan Syaikh dari guru-guru beliau bermula dengan Hadith Musalsal Bil Awwaliyyah, hingga yang akhir iaitu Hadith Musalsal Bi Khatmil Majlis bid Doa’ telah diijazahkan kepada yang hadir.
Al-Fadhil Syaikh sedang memberikan ijazah Hadith Musalsal bil Talqim (makan buah kurma)
kepada tolibul ilm yang hadir. Allahu Akbar!
Al-Fadhil Syaikh juga turut berpesan kepada hadirin hadirat supaya menghadiri majlis ilmu yang di dalamnya terdapat pembacaan hadith. Menurut beliau, orang-orang yang mendengarkan hadith Rasulullah Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam, Allah Subhanahu wa Ta’ala akan angkat darjatnya. ”Allah Subhanahu wa Ta’ala akan beri cahaya kepada orang yang mendengarkan hadith Rasulullah Shollallahu alaihi wa alihi wa sallam”, kata Al-Fadhil Syaikh yang memetik kalimah itu daripada hadith riwayat Imam Tirmizi. Beliau juga menggalakkan agar penuntut ilmu menghadiri Majlis Talaqi yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir di bumi UIA ini, juga majlis-majlis ilmu lain yang dikendalikan oleh para masyaikh yang lain.
Sehingga jam 11 malam, majlis ini diakhiri dengan pembacaan doa penutup oleh Al-Fadhil Syaikh Muhammad Husni. Al-Fadhil Syaikh juga menyatakan hasratnya untuk bertandang kembali ke sini (UIAM PJ) sekali lagi bulan Mac tahun hadapan (2012) sekiranya dizinkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. (Ameen insyaAllah!).
Seterusnya, pihak penganjur majlis mengiringi Al-Fadhil Syaikh Muhammad Husni, Al-Fadhil Ustaz Muhadir as-Sanariy dan Al-Fadhil Ustaz Abdullah al-Qaddahiy ke bilik jamuan bagi menikmati jamuan hidangan Nasi Arab.
Alhamdulillah, majlis malam itu berjalan dengan lancar dengan izin Allah Subhanahu wa Ta’ala. Al-Fadhil Ustaz Muhadir juga menyatakan kesyukuran ke hadrat Illahi atas kelancaran majlis dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis yang penuh barokah itu. Jazakumullahu Khairal Jaza’!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan