Jumaat, 4 Februari 2011

SEJARAH PENGAJIAN TALAQI DI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA

SEJARAH PENGAJIAN TALAQI DI UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA

Talaqi di UIA PJ

Sejarah talaqi di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya bermula pada tahun 2007, hasil dari kesedaran penuntut UIA sendiri untuk menuntut ilmu agama secara talaqi dan bersanad. Ia bermula apabila Akhi Imran (sekarang di Tahun 2, Medic, Kampus UIA Kuantan) dan beberapa temannya berjumpa Al-Fadhil Ustaz Muhadir agar dibuat satu halaqah ilmiah sebagai pengisian ilmu dan rohani di bawah asuhan beliau sendiri. Al-Fadhil Ustaz Muhadir menyambut baik cadangan dan niat murni tersebut. Akhirnya satu pengajian talaqi bermula di AX202 dengan menggunakan kitab ‘Aqidah al-Muslimin dan syarahnya. Majlis diadakan pada setiap hari Jumaat, bermula pukul 12 tengahari sehingga 1 pm, dengan kehadiran lebih kurang 25 orang untuk halaqah yang pertama. Muslimat pada ketika itu diketuai oleh Ukhti Rabiatul Adawiyah (sekarang di Tahun 2, Medic, Kampus UIA Kuantan). Majlis bermula dengan pembacaan kitab oleh Al-Fadhil Ustaz dan kemudiannya disusuli dengan sesi soal jawab selama 15 minit yang terakhir untuk setiap perjumpaan. Kehadiran ahli pengajian semakin bertambah dari seminggu ke seminggu.

Selepas itu, pengajian talaqi diketuai oleh Akhi Syed Saufi al-Aydrus (jurusan Pharmacy sekarang di Tahun 1, Kampus UIA Kuantan) bagi muslimin dan Ukhti Hafizah binti Hisma (jurusan ICT sekarang di Tahun 1, Kampus UIA Gombak) bagi muslimat. Oleh kerana ahli pengajian semakin ramai, tempat pengajian ditukar ke kelas lebih luas di AX102. Pada masa itu, ahli pengajian duduk di atas kerusi yang disusun rapi. Masa pengajian bermula pukul 12 tengahari sehingga 1 pm, pada hari Jumaat dengan kitab Penawar Bagi Hati karangan Al-Alim al-Allamah Syaikh Abdul Qadir al-Mandili al-Indonisi al-Makki. Di ketika ahli pengajian semakin ramai, majlis talaqi dikejutkan dengan kembalinya ke rahmatullah ahli talaqi yang komited dan ikhlas, Al-Marhum Akhi Nabil. Beliau seorang hafiz Al-Quran yang disenangi oleh semua orang. Beliau juga sangat menghormati guru dan para masyaikh. Beliau – insyaAllah – mendapat tempat di hati Al-Fadhil Ustaz Muhadir. Ini terbukti di mana di dalam majlis talaqi, Al-Fadhil sering kali menyebut kebaikan dan kelembutannya semasa hayatnya. Semoga Allah Taala merahmati rohnya dan menempatkannya bersama orang-orang yang solihin, Al-Fatihah. Pengajian talaqi selepas itu diketuai oleh Akhi Azri (sekarang di Tahun 1, Allied Health Science, Kampus UIA Kuantan).

Pada tahun 2010, pengajian talaqi telah diketuai oleh Akhi Ku Atif (sekarang di Tahun 1, Nursing Kampus UIA Kuantan) bagi muslimin dan Ukhti Noratasha Aida (sekarang Tahun 1, Allied Health Science, Kampus UIA Kuantan), bagi muslimat. Oleh kerana bilangan semakin ramai, ahli pengajian mula duduk di atas tikar. Sekali lagi ahli pengajian talaqi dikejutkan dengan pemergian ahli pengajian yang ikhlas dan bersungguh dalam menuntut ilmu. Al-Marhumah Ukhti Siti Fatimah sangat disukai dan disenangi oleh rakan-rakannya. Beliau dengan penuh keikhlasan dan komited sekali turut menjadi pembantu menguruskan bahagian muslimat untuk majlis talaqi ini. Al-Fadhil Ustaz juga selalu meminta ahli-ahli pengajian menghadiahkan bacaan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas (11 kali) untuk Al-Marhumah dan Al-Marhum Akhi Nabil. Semoga pemergiannya ke alam baqa’ pada bulan Rejab yang mulia dirahmati Allah Taala dan ditempatkan rohnya bersama orang-orang yang solihin, Al-Fatihah…

Selepas itu, Akhi Muhammad Syafiq bin Kamil (sekarang di Tahun 1, Engineering, Kampus UIA Gombak) diamanahkan memegang ketua bagi majlis talaqi bagi muslimin, sementara muslimat diketuai oleh Ukhti Sharifah Nurhidayah dan Ukhti Siti Fatimah binti Abdul Ghaffar (sekarang di Tahun 1, BioScience, Kampus UIA Kuantan). Kitab yang disyarahkan oleh Al-Fadhil Ustaz ialah kitab Bidayah al-Hidayah karangan Imam Ghazzali. Di bawah beliau, beberapa perubahan telah dibuat dan beberapa perkembangan telah berlaku. Antaranya sebelum majlis bermula, ahli pengajian akan membaca Ratib al-Haddad dan berqasidah. Akhi Muhammad Syafiq telah berusaha membuat blog khas dengan nama ‘jomtalaqi’ untuk menjadi medium memaklumkan masa dan tarikh majlis talaqi. Blog ini juga bertujuan memaklumkan majlis-majlis ilmu di tempat lain. Beliau telah melantik beberapa ahli pengajian untuk mengemaskinikannya termasuklah Akhi Muzhaffar (sekarang di Tahun 2, Pusat Asasi, Engineering, Kampus PJ) dan Akhi Amir (sekarang di Tahun 2, Pusat Asasi, Engineering, Kampus PJ). Dalam usaha menyebarluaskan maklumat tentang tarikh dan masa pengajian talaqi, beliau menugaskan beberapa ahli pengajian untuk bertanggungjawab meng’sms’ kepada beberapa ahli pengajian yang lain, dan begitulah untuk yang lain. Usaha ini ternyata lebih berkesan di mana lebih ramai ahli pengajian yang hadir sehingga melimpah keluar kelas dan kelas sebelah (AX101). Untuk memudahkan urusan membuat salinan nota talaqi, beliau membuat tabung khas talaqi yang masih berjalan sehingga kini.

Hingga sekarang ini (Sem 2, 2010/2011), majlis pengajian talaqi diketuai oleh Akhi Amir (sekarang di Tahun 2, Pusat Asasi, Engineering, Kampus PJ) dan Ukhti Syarifah Hidayah (sekarang di Tahun 2, Pusat Asasi, Physical Science, Kampus PJ). Kitab yang disyarahkan oleh Al-Fadhil Ustaz ialah kitab Hadith 40 karangan Imam Nawawi dan Bidayah al-Hidayah karangan Imam Ghazzali. Kadang-kadang beliau menggunakan kitab Cahaya Yang Menerangi dari Fatwa dan Jawapan Syaikh Nuruddin al-Banjari (kitab soal jawab agama ini adalah susunan Al-Fadhil Ustaz sendiri). Talaqi di kampus PJ sekarang ini diadakan pada malam Khamis, setiap minggu pertama, ketiga dan keempat.

Talaqi di UIA Gombak

Pada tahun 2010, Akhi Adli (sekarang di Tahun 1, Enginering, Kampus UIA Gombak) telah menyatakan hasratnya untuk mengadakan majlis pengajian talaqi di Gombak kepada Al-Fadhil Ustaz Muhadir. Majlis talaqi di Gombak telah bermula pada Sem 1, 2010/2011 yang lepas dengan kitab Matan Ibn Abi Jamrah (hadith) dan Hidayah as-Salikin (tasawwuf). Beliau dibantu oleh Akhi Ku Faiz, Akhi Uzair, Akhi Umar (sekarang semuanya di Tahun 1, Engineering, Kampus UIA Gombak) dan lain-lain. Bagi muslimat, talaqi diketuai Ukhti Shuhada’ (sekarang di Tahun 1, Enginering, Kampus UIA Gombak), dengan dibantu muslimat lain. Talaqi pertama dan beberapa talaqi seterusnya telah diadakan di bangunan Kuliyyah of Education (EDU). Pada masa sekarang, ia diadakan di surau Kuliyyah of Engineering untuk setiap Selasa malam, minggu kedua dan keempat. Alhamdulillah, bermula Februari 2011 tahun ini, majlis talaqi di Gombak menerima berita gembira di atas kesudiaan murid Al-Alim al-Allamah al-Musnid, Habib Umar iaitu Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid untuk memanfaatkan ilmunya dengan menggunakan kitab Aqidah al-Awwam (tauhid) dan Safinah an-Naja (feqah).

Talaqi di UIA Nilai

Talaqi di UIA Nilai kali pertama diadakan pada tahun 2008 dengan diketuai oleh Akhi Syed Putra (sekarang di Tahun 1, Arabic, Kampus UIA Gombak). Kitab yang dibaca dan disyarah oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir ialah Penawar Bagi Hati karangan Syaikh Abdul Qadir al-Mandili al-Indunisi al-Makki. Walau bagaimanapun, talaqi di sini hanya diadakan sekali dalam sebulan iaitu pada Khamis malam setiap minggu yang kedua. Selepas itu ia diketuai oleh Akhi Ikram (sekarang di Tahun 1, IRK, Kampus UIA Nilai). Sekarang ini pengajian talaqi diketuai oleh Akhi Muhammad Fuad (sekarang di Tahun 1, IRK, Kampus UIA Nilai) dan dibantu oleh Akhi Firdaus Abu Bakar dan Akhi Firdaus Idris (sekarang kedua-duanya di Tahun 2, IRK, Kampus UIA Nilai) bagi muslimin. Bagi muslimat, ia diketuai oleh Ukhti Sakinah (sekarang di Tahun 2, IRK, Kampus UIA Nilai) dan Ukhti Wan Nur Fadhilah (sekarang di Tahun 2, IRK, Kampus UIA Nilai).

Talaqi di UIA Kuantan

Al-Fadhil Ustaz Muhadir juga diminta untuk mengadakan juga talaqi di kampus UIA Kuantan. Walau bagaimanapun, jarak yang agak jauh membataskan Al-Fadhil untuk ke sana. InsyaAllah beberapa para asatizah dan masyaikh dijangka akan mengadakan majlis talaqi di sana. Buat masa ini Alhamdulillah, beberapa majlis talaqi yang dikendalikan oleh Al-Fadhil Ustaz Syed Akil baru bermula sekitar bulan Januari 2011 yang lepas dengan kitab Feqah Syafie.

______________________________________________________________________________

Demikianlah sedikit catitan sejarah pengajian talaqi di UIA sejak ia mula diadakan sehingga sekarang. Antara kelebihan talaqi di bawah asuhan Al-Fadhil Ustaz Muhadir ialah ia bukan hanya mengupas dan membahaskan ilmu dari kitab-kitab yang disyarahkan, tetapi Al-Fadhil sangat-sangat mementingkan adab dalam menuntut ilmu dan adab kepada para ulama’ dan ahli ilmu. Beliau juga mengajar ahli-ahli talaqi untuk sentiasa mencintai Rasulullah dan ahli baitih. Begitulah kesan didikan dan tarbiah yang beliau dapat dari guru-guru tercintanya, Al-Alim al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin al-Banjari al-Makki, Syaikh Fahmi Zamzam al-Banjari, Syaikh Baba Abdul Aziz, Syaikh Fuad Kamaluddin al-Maliki dan beberapa masyaikh yang lain.

Semoga bumi UIA akan terus disirami hujan rahmat dan barakah dengan majlis pengajian talaqi bersanad ini, Amin….

Catitan oleh:
Seorang Ahli Pengajian Yang Dhoif, Faqir, Kerdil di sisi Allah
3 Februari 2011

4 ulasan:

  1. alhamdulillah...
    moga sejarah ini bakal terus menjadi lebih panjang daripada hari ini.
    dan penuntut2nya diredhai allah...
    insya allah...

    BalasPadam
  2. salamualaikum..buat pengetahuan akhi..talaqi di uia kampus kuantan diadakan pada setiap hari ahad,isnin,selasa dan jumaat..pada jam 9malam betempat di CF brother berdekatan mahallah talhah dan adakla di CF sister berdekatan mahallah maimunah..habib syed akil membahaskan kitab fiqah syafie..mohon boleh disebar2kan..boleh cuba hubungi akh yg menguruskan talaqi disana,ana kurang psti namanya..atau ana juga insyaAllah,0192571977 untuk pengetahuan lnjut..serba sedikit boleh dikongsi..

    BalasPadam
  3. Assalamu'alaikum, Mohon disebarkan artikel ini kepada umat Islam di Facebook.. JazakumuLlah.. ^_^

    BalasPadam
  4. Artikel yang bermanfaat..moga ramai yg lebih meminati bidang Talaqi.

    BalasPadam